Tuesday 29 December 2015

Karipap Rindu Shoubra

certot 01
KARIPAP RINDU SHOUBRA




Syahezat pasrah.
Tubuh yang letih itu disandarkan ke tiang Masjid Khazandarah. Kedengaran lantunan ayat suci al-Quran dilagukan. Sesekali suara jerkah Syeikh Hassan Syaaban memecah syahdu. Masjid yang acap dikunjungi ini tidak pernah jemu menyambut tetamu yang dahaga akan limpahan nur kitabullah.
2 tahun.
Ya. Sudah dua tahun Syahezat berniaga karipap untuk merealisasikan hasrat murni itu. Dia sentiasa percaya bahawa mimpi tidak selamanya berupa mimpi. Berkat kesungguhan, kejayaan pasti menjenguk nanti.
Lamunan terhenti tatkala namanya dipanggil rakan. Sudah tiba giliran rupanya. Mushaf Qiraat ‘Asim dicapai.
**********
“Abi tidak peduli, Syarat abi mesti dipenuhi”.
Kata-kata itu bagai igauan. Syahezat cuba melelapkan mata. Berharap ada sinar esok.
***********
”Kenapa engkau sanggup bebankan diri macam ni sekali Ijat. Kalau kau nak orang lain aku boleh carikan. Bukan takde akhwat-akhwat yang lebih baik”.
“Cinta memungkinkan yang mustahil, Naim. Hati aku masih pada dia”.
“Tapi kalau betul kau nak kumpul duit untuk kahwin, kenapa tak fokus saja pada bisnes ni. Kenapa kau masih bebankan diri dengan talaqqi?”
Tangan yang mengumpil karipap itu terhenti seketika.
“Ya. Aku mungkin sudah buta dek cinta. Tapi takkan aku tinggalkan talaqqi walau sesibuk mana seletih mana pun aku. Al-Quran lah tujuan aku di Mesir ni. Sia-sialah aku datang sini mahal-mahal kalau aku persiakan al-Quran”.
“Syahezat, aku Cuma kasihankan kau”.
“Tak payah nak kasihan aku sangat. Kalau betul kasihan, beli semua karipap aku hari ni”. Katanya sambil tersenyum.
“Tunggulah aku dapat SPH dulu”. Naim tersengih.
“Cit”.
**********
Anak-anak Melayu di tanah to’miyah ini selalu merindui senduk bonda. Benarlah, Malaysia ialah syurga makanan. Tiada bandingan di seluruh alam. Di Hayyu Sabek, Thamin dan Asyir banyak kedapatan restoran-restoran yang menghidangkan juadah tanah jawi. Mahabbah, Toha Nasi Kerabu dan Pondok Ayu antara pelempias rindu. Lain gayanya di Shoubra. Tiada lagi mat’am Melayu dibuka. Justeru apabila Syahezat menjual karipap, ianya laku keras. Rezeki Tuhan.
“Tinggi sebenarnya hantaran yang abi Felixia tetapkan tu Ijat”, bilang Naim.
“Aku sedar tu. Tapi aku tetap kan berusaha. Aku sanggup korbankan segalanya untuk orang yang aku sayang”.
Datuk Abrahamovic, menetapkan jumlah hantaran yang tinggi jika ingin menyunting anak dara. Walaupun telah 2 tahun Syahezat mengumpul wang, ia masih tak mencukupi. Maklumlah perniagaan ini ada turun naik.
Tiba-tiba, call whatsapp berdering.
**********
“Sadaqallahul ‘aziim”.
Tamat sudah tasmi’ al-Quran. Kali ini bukan di hadapan Syeikh Hasan Syaaban. Kali ini di hadapan abi.
Dia juga bagai tidak percaya. Sebegitu rupanya takdir ilahi.
Air mata syukur berjujuran.
“Datuk Abrahamovic memanggil kau pulang. Bilangnya tiket penerbangan kau pun sanggup ditaja”. Masih terngiang-ngiang panggilan call whatsapp dari mama bulan lepas.
“Abi cuma mahu menduga, sejauh mana engkau bersungguh. Abi sudah menerima kau sejak kau memberanikan diri berjumpa abi, mahu menyunting Felixia dua tahun yang lepas. Engkau hafiz al-Quran. Abi beruntung bermenantukan kau. Jadikanlah al-Quran yang kau hafaz itu, bahtera untuk melayari lautan pernikahan. Syarat hantaran tinggi yang abi letakkan, untuk melatih kau berdikari. Simpanlah wang itu, untuk keperluan kau dan puteri abi”. Datuk Abrahamovic mengurai jawapan, menyirna persoalan.
Ikhtiar Syahezat selama ini, mengimbangkan talaqqi al-Quran dengan perniagaan tidak sia-sia. Benarlah bahawa Allah tidak akan mempersia orang yang menjaga kalam-Nya.
“Cukuplah hafazan Quran 30 juzu’ itu sebagai hantaran. Ia lebih berharga dari segalanya”.
Kalimah itu bagai penawar, yang membuatnya lupa kesakitan semalam.
“Allahu”.



*Selesai sudah cerpen kontot pertama. Lama sudah tak menulis.
*Tiada kaitan dengan yang hidup ataupun mati.
*certot bermakna cerpen kontot. Tak melebihi 2 mukasurat format word
*Supportlah karipap Shoubra. Hubungi whatapp +6 0136626932

Thursday 12 November 2015

Setelah kalbu dibakar cinta, ku jadikan debunya sebagai dakwat

Ini ialah coretan seorang pendosa.

Yang cuba bangkit dari dosa-dosanya. Meniru lagenda phoenix yang terbakar lalu dari debu menghasilkan hidup yang baru. Bezanya pendosa ini dibakar oleh cinta,

Bila api cinta kepada ilahi itu benar-benar membakar segenap kalbu, api neraka merasa segan-silu.

Dimulai coretan ini dengan memuji ilahi sepertimana kebiasaan matan sarjana silam, moga-moga ia menjadi zawiyah bagi pencinta-pencinta yang menderitai kerinduan yang dalam pada Tuhan.

Mari kita berkongsi derita kerinduan itu!